Kerjasama Malaysia-Turkiye bagi jamin rantaian bekalan makanan mencukupi, stabil

0
10

ANKARA – Malaysia dan Turkiye hari ini bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi serta stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau dan Presiden Recep Tayyip Erdogan sependapat bahawa isu keselamatan makanan kian meruncing akibat pandemik Covid-19.

“Malah kini menjadi semakin kritikal ekoran konflik Rusia-Ukraine,” katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Turkiye itu di Kompleks Presiden, di sini hari ini, yang turut disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen Turkiye dan Malaysia termasuk Bernama TV.

Menurut Ismail Sabri, yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke republik itu atas jemputan Erdogan, antara langkah segera bagi mendepani isu ini yang diambil Malaysia dan Turkiye ialah untuk meningkatkan perdagangan produk makanan, dan akan terus menjalinkan kerjasama yang meliputi perkongsian maklumat serta pengalaman.

Pada masa sama, kedua-dua negara akan memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor makanan bagi meningkatkan keupayaan menghasilkan sumber makanan serta kelangsungan sekuriti makanan untuk berada pada tahap yang stabil.

Perdana Menteri juga berkata, beliau telah menyampaikan berita baik kepada Erdogan bahawa Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf ijazah dari 208 universiti di Turkiye.

“Saya yakin ini akan meningkatkan produk-produk penyelidikan bertaraf antarabangsa dari universiti kedua-dua negara. Tambahan lagi, ia adalah khabar yang dinanti-nantikan oleh anak-anak Keluarga Malaysia yang telah dan sedang menimba ilmu di negara ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau dan Erdogan mengakui kerjasama industri pertahanan antara kedua-dua negara perlu dipertingkat.

“Saya telah memaklumkan kepada Presiden bahawa dalam rangka lawatan ini, saya turut berpeluang mengadakan pertemuan dan lawatan dengan beberapa pemain industri pertahanan di Turkiye,” katanya yang telah melawat dua syarikat pemain utama industri pertahanan dan aeroangkasa Turkiye iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI) semalam.

Kedua-dua negara Islam itu juga sependapat berhubung sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin, kata Ismail Sabri sambil menambah Malaysia menghargai pendirian dan usaha Turkiye dalam membela rakyat Palestin.

“Kedua-dua negara bersama negara yang berfikiiran serupa akan terus menyelaras usaha ke arah menamatkan pendudukan rejim Zionis dan merealisasikan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat,” katanya.

Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara merekodkan RM16.97 bilion (US$4.09 bilion) pada 2021 dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (US$130.91 juta).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here