Ketirisan minyak masak subsidi ke negara jiran didalangi pihak tertentu

0
15
ANNUAR MUSA

KOTA BHARU – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mempunyai bukti yang cukup mengenai ketirisan minyak masak bersubsidi yang cukup besar ke negara jiran.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, siasatan juga turut mendapati ada keterlibatan pihak tertentu.

“Siasatan mendapati minyak masak bersubsidi negara dijual berkarton-karton dalam kotak, bila datang dalam bentuk kotak yang belum dibuka ertinya datang terus dari kilang-kilang yang membuat pembungkusan.

“Hasil siasatan juga mendapati ada keterlibatan pihak tertentu. Saya tidak boleh umumkan di sini apa yang kita akan lakukan cuma saya nak katakan kita sedang bekerja keras, mereka yang terlibat jangan rasa boleh terlepas,” katanya.

Ketirisan yang berlaku menyebabkan pekan-pekan di negara jiran itu yang terletak berhampiran sempadan negara tidak putus bekalan minyak masak bersubsidi yang dijual pada harga antara RM7 hingga RM8 sekilogram.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia turut memberi amaran tindakan tegas termasuk mengubah sistem bekalan akan diambil sekiranya masalah itu terus berlarutan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Korban Perdana dan Majlis Akikah 2022 Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, tindakan awal sudah diambil bagi menangani masalah ketirisan minyak masak bersubsidi itu.

“Kalau saya sebut secara terperincil gagallah kerja-kerja yang jawatankuasa ini sedang jalankan, memadai dengan saya kata kita sudah ada cukup maklumat. Tindakan sudahpun diambil tetapi ada beberapa lagi (tindakan) akan diambil.

“Nasihat saya, tolong hentikan sebab kalau sistem yang ada sekarang ini tidak juga dapat diperbaiki (sehingga berlaku ketirisan) saya akan mempertimbangkan merombak keseluruhan sistem bekalan minyak bersubsidi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here