KKM mungkin kuatkuasa semula Akta 342 susulan peningkatan kes Covid-19

0
79
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mewajibkan pemakaian pelitup muka di premis tertutup dan mungkin menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) jika kes meningkat begitu mendadak.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kini dilihat agak longgar selepas peralihan ke fasa endemik.

“Saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia pemakaian pelitup muka di premis tertutup masih wajib cuma sejak 17 April, kita sudah tidak lagi mengeluarkan notis kompaun sebab KKM buat keputusan selari dengan fasa peralihan endemik.

“Kita lebih utamakan pemerkasaan komuniti dan tanggungjawab individu dan tidak lagi penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan.

“Namun sekiranya kes terus meningkat dengan keadaan mendadak, KKM tidak akan menolak untuk kita menguatkuasakan semula Akta 342 terutama mereka yang enggan memakai pelitup muka di kawasan tertutup.

“Saya masih lagi merayu atas solidariti komuniti, pemerkasaan individu secara sukarela patuh pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kecuali bercakap, memberi ucapan, makan dan mengambil gambar,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Dalam pada itu Khairy berkata, pemakaian pelitup muka dilihat berkesan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

“Kita di KKM tidak mahu ke belakang kerana sekarang ini kita sudah gugurkan agensi lain dalam Akta 342, polis tidak disambung lagi kuasa dalam akta ini.

“Sekarang ini KKM saja yang tinggal boleh keluarkan notis (saman) sekiranya tidak memakai pelitup muka.

“Selepas peralihan ke fasa endemik agensi lain terutama polis minta tidak lagi diturunkan kuasa sebab mereka ada kerja lain dan kita pun setuju, jadi sumber menguatkuasakan pun terbatas disebabkan KKM saja yang tinggal. Saya pun tak nak keluarkan notis kompaun lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here