Kolam takungan projek musang king pecah punca banjir di Baling – Tuan Ibrahim

0
122
Pemandangan kolam takungan air di Gunung Inas

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengesahkan punca banjir yang berlaku di beberapa kampung di Baling baru-baru ini disebabkan kolam takungan yang dibina untuk projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas pecah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, punca itu dikesan melalui kajian yang dilaksanakan oleh kementerian itu.

“Kajian mendapati adanya satu kolam takungan yang pecah yang mana ia menyebabkan berlakunya banjir di beberapa kampung termasuk Kampung Iboi, Kampung Padang Lengkuas, Bukit Hangus dan Kampung Pisang.

“Kalau dilihat dari kadar hujan, ia tidak lebat sekadar 36 hingga 40 milimeter (mm) sahaja,” katanya memetik laporan BH Online.

Terdahulu beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai situasi banjir di Gunung Inas, Baling, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, susulan kejadian itu, kerajaan meluluskan enam projek bagi membendung kejadian yang sama di situ antaranya membabitkan pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) fasa satu dan dua di Baling dengan peruntukan RM175 juta.

Beliau kerajaan, kerajaan juga akan membina dua struktur sabo bagi mengurangkan risiko aliran puing bernilai RM20 juta selain kerja mendalamkan sungai serta pembaikan jambatan dengan peruntukan RM6 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here