Konsep tasamuh yang menekankan toleransi, kebersamaan tunggak Keluarga Malaysia

0
3

KOTA BHARU – Konsep tasamuh yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan sejak setahun lalu menjadi tunggak kepada konsep Keluarga Malaysia kerana ia menekankan nilai toleransi dan kebersamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, nilai toleransi itu bukan hanya dalam hidup bermasyarakat tetapi juga beragama dengan menghormati hak dan kewajipan antara agama Keluarga Malaysia, sekali gus mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.

“Dengan tasamuh juga, Keluarga Malaysia akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam.

“Sebagai kerajaan, sudah menjadi tanggungjawab untuk sentiasa menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan dan mencari titik persamaan dalam kepelbagaian melalui konsep Keluarga Malaysia dan tasamuh,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

AKM Kelantan, yang bertemakan Keluarga Malaysia Keluarga Digital bermula semalam hingga esok.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa selaku penyelaras AKM Kelantan; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Ketua Setiauasaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, idea Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya pada 22 Ogos tahun lepas bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata, tetapi kesejahteraan dan kepentingan rakyat terus dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

Katanya, konsep Keluarga Malaysia bermatlamat supaya rakyat berbilang kaum dan merentasi agama di negara ini dapat terus mengamalkan hidup bersatu-padu dalam satu keluarga besar berasaskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam sebuah keluarga. Jika ada anggota keluarga yang kesusahan, anggota yang lain turut merasakannya ibarat tercubit paha kiri, paha kanan pun terasa sakit.

“Justeru, kita bawa konsep ini menjelajah ke seluruh negara supaya rakyat dapat menghayati dan memahami aspirasi Keluarga Malaysia dengan lebih jelas,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here