KPDNHEP tumpas penjualan minyak masak dalam talian

0
16
Pemeriksaan anggota KPDNHEP di sebuah premis menyimpan stok minyak masak di Petaling Jaya.

CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penjualan minyak masak secara online melalui dua serbuan di Petaling Jaya dan Puchong baru-baru ini.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari itu, sebanyak 255 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dianggarkan bernilai RM637.50 disita.

Turut dirampas 27 unit minyak masak botol sekilogram, 2 kg dan 3 kg berjumlah RM858.

“Peniaga dipercayai menjalankan penjualan minyak melalui platform e-dagang terkenal tanpa mematuhi syarat ditetapkan.

“Seramai tujuh anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor ditugaskan dalam serbuan hasil aduan yang diterima daripada orang awam itu,” katanya.

Jelas beliau, premis yang diserbu di Petaling Jaya merupakan sebuah kediaman yang disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit sebelum dijual secara online manakala di Puchong pula melibatkan sebuah rumah kedai yang dijadikan stor penyimpanan.

“Serbuan ke atas premis di Petaling Jaya telah menemui sejumlah 255 kilogram minyak masak peket bersubsidi bersama beberapa jenis barangan runcit lain yang akan dijual atau diedar kepada pelanggan secara online dan turut merampas beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan.

Kata Azman, pemeriksaan di Puchong pula berjaya menemui sejumlah minyak masak kemasan botol sekilogram, 2 kg dan 3 kg di dalam premis tersebut.

Tambah beliau, premis berkenaan telah mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang masih sah tempoh namun alamat didaftarkan dalam lesen didapati berbeza daripada alamat premis yang menyimpan barang-barang kawalan itu.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kedua-dua kes berkenaan akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit termasuk maklumat daripada mana bekalan minyak masak itu diperolehi,” ujarnya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here