KPKT beri tempoh pengecualian terhadap pemaju perumahan terbengkalai

0
10
Tindakan itu agar pembeli rumah tidak terbeban dengan caj penuh bayaran balik pinjaman bank akibat projek rumah tergendala yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberikan tempoh pengecualian kepada pemaju projek-projek perumahan sakit di bawah Akta 829 dan Akta A1641 oleh Jabatan Perumahan Negara, berdasarkan justifikasi yang dibenarkan, Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, langkah itu diambil memandangkan kebanyakan projek perumahan yang sedang berjalan, tidak dapat disiapkan mengikut tempoh, seperti dalam Perjanjian Jual Beli (PJB).

Ahli Parlimen Maran itu berkata, pemberian tempoh pengecualian ini menyebabkan tarikh serahan milikan kosong (Vacant Possession – VP) yang asal berubah kepada tarikh baharu.

“Pelaksanaan PKP ini secara tidak langsung telah menjejaskan ekonomi di mana ia mengehadkan pergerakan rakyat serta melarang pengoperasian sektor-sektor bukan kritikal termasuk sektor pembinaan industri perumahan. Ini menyebabkan pembinaan projek perumahan tidak dapat disiapkan atau tergendala.

“Senarai pemaju yang memperolehi kelulusan pengecualian tempoh perintah kawalan pergerakan bagi pemajuan yang terjejas kerana penularan wabak Covid-19 boleh di muat naik melalui laman sesawang https://ehome.kpkt.gov.my,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Md Dun ingin mengetahui tindakan Kementerian agar pembeli rumah pertama, tidak terbeban dengan caj penuh bayaran balik pinjaman bank akibat projek rumah tergendala yang semakin menjadi-jadi, pasca Covid-19.

Dalam pada itu, Ismail berkata, Bank Negara Malaysia telah melaksanakan pemberian moratorium menerusi institusi kewangan bagi tempoh 6 bulan dan dilanjutkan kepada moratorium bersasar untuk tempoh 3 bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) juga akan memainkan peranan penting untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada penjawat awam yang ingin membeli rumah.

KPKT, dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) pula, katanya lagi, telah memperkenalkan Skim Bantuan Khas iaitu penangguhan bayaran balik ansuran bulanan selama enam (6) bulan kepada peminjam LPPSA yang layak.

“Permohonan untuk mendapatkan Skim Bantuan Khas ini dibuka mulai 4 Februari 2022 sehingga 31 Disember 2022 melalui portal rasmi LPPSA.

“Sehingga 5 Julai 2022, sebanyak 1,683 permohonan telah diterima dan 1,613 permohonan telah diluluskan oleh LPPSA,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here