Label Mat Kilau pemimpin konservatif: Mujahid tempelak Ramasamy,

0
57
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa 

CYBERJAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menempelak kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P. Ramasamy yang menganggap Mat Kilau bukan nasionalis tetapi sebagai pemimpin petani konservatif.

Beliau yang Naib Presiden Parti Amanah berkata, kenyataan itu jelas prejudis kepada sikap antikolonial Mat Kilau yang sepatutnya dilihat sebagai satu kebanggaan kepada semua rakyat Malaysia.

“Sikap prejudis tidak semestinya berlaku antara kaum atau sesama kaum, prejudis boleh terbentuk terhadap prinsip kemanusiaan yang sepatutnya diperjuangkan bersama tanpa mengira batasan perkauman atau agama.

“Ramasamy bersikap prejudis kepada perjuangan universal menentang penjajah dengan melabelkan Mat Kilau sebagai peribadi konservatif kepada pembaharuan yang dibawa oleh British.

“Kenyataan ini jelas prejudis kepada sikap anti-kolonial Mat Kilau yang sepatutnya dilihat sebagai satu kebanggaan kepada semua rakyat Malaysia. Apakah kerana namanya Mat Kilau seorang Melayu, P. Ramasamy jadi buta kepada prinsip mulia ini? ” soalnya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

P.Ramasamy

Dalam pada itu, Mujahid berkata, kenyataan tentang Mat Kilau jelas mewakili sikap Ramasamy selama ini yang bertindak semberono demi populariti murahan untuk ambil hati kelompok kecilnya.

Katanya, Ramasamy tidak perlu mengheret kepentingan sempit politik kelompoknya dengan cuba menafikan perjuangan anti-penjajahan Mat Kilau.

“Beliau mengecilkan skop Mat Kilau kepada anti-pembaharuan seolah menafikan persoalan lebih besar tentang kezaliman penjajah British. Apakah Ramasamy menyokong kolonialisma?

“Tema Mat Kilau bukan tentang Mat Kilau seorang nasionalis atau tidak, jauh sekali mengukuhkan UMNO atau mana-mana kelompok tetapi filem Mat Kilau adalah simbol anti-penjajahan, anti-penindasan dan anti pengkhianatan yang sepatutnya dimurnikan dalam politik negara yang gersang dengan semua nilai-nilai ini.

“Malangnya obsesi Ramasamy untuk jadi hero dalam kelompoknya mendedahkan betapa butanya beliau kepada prinsip universal ini dan memilih untuk mengkerdilkan watak Mat Kilau kepada petani yang konservatif,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kisah perajurit British berbangsa Sikh yang cuba diheretkan bagi menimbulkan kemarahan keturunan Sikh Malaysia, katanya, sejarah telah membuktikan sememangnya penjajah British menggunakan khidmat kelompok tersebut untuk menindas wilayah yang dikuasainya.

“British juga menggunakan pemimpin elit tempatan untuk memenuhi nafsu penjajah mereka. Keturunan Sikh bangsa Malaysia tidak perlu tersinggung kerana Mat Kilau tidak pernah membenci mereka, Mat Kilau hanya pembenci kepada penjajahan! Sukarkah P. Ramasamy memahami prinsip asas manusiawi ini?” bidasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here