‘Lahir’ di gerai nasi lemak, Sambal Rindu kini tembusi rangkaian Mesra Petronas

0
113

SIAPA sangka, dengan hanya bermula daripada menjual nasi lemak di tepi jalan, Mohd. Yusof Fauzi Ahmad Labib kini sudah bergelar usahawan sambal yang berjaya menembusi pasaran tempatan.

Produk Sambal Rindu keluaran Far Cekap Enterprise kini sudah boleh didapati di lebih 400 rangkaian kedai Petronas dan pasar raya terpilih di seluruh negara.

Mohd. Yusof menunjukkan produk yang dihasilkan olehnya ketika ditemui di Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kuala Lipis, Pahang.

“Produk saya juga ada dijual di TF Value Mart, Ameerul Halal Mart, Sabasun dan beberapa peruncit lain,” kata Mohd. Yusof sambil menambah, dia kini sedang meneroka peluang untuk mengembangkan produknya ke luar negara.

Menyorot kembali laluannya dalam dunia perniagaan, Mohd. Yusof yang berasal dari Jempol, Negeri Sembilan berkata, produk sambal keluarannya bermula sebagai hidangan sampingan di gerai nasi lemaknya.

“Semua pelanggan yang singgah membeli, akan cari sambal saya.

“Ada juga pelanggan yang datang semata-mata hanya untuk membeli sambal. Jadi, timbul idea untuk memasarkan sambal tersebut sahaja,” katanya.

Sambal Rindu yang dihasilkannya mempunyai empat tahap kepedasan, bermula daripada sambal nasi lemak yang lebih manis, kepedasan rendah, sederhana hingga ke sangat pedas.

Selain itu, beliau kini turut menghasilkan produk sedia untuk dimakan, Daging Masak Hitam.

Mohd. Yusof merupakan salah seorang daripada usahawan desa yang menyertai Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) yang berlangsung di Dataran Orang Kaya Haji di Kuala Lipis, Pahang bermula semalam hingga hari Ahad nanti.

Mini KUD merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam membantu usahawan luar bandar mengembangkan perniagaan menerusi konsep pameran dan jualan terus kepada pengguna.

Menyorot kembali langkahnya ketika mula-mula menceburi dunia penghasilan produk, Mohd. Yusof berkata perjalanannya memang penuh cabaran, namun, beliau berkeyakinan tinggi dapat mengharunginya kerana sokongan dan bantuan yang diterimanya.

“Alhamdulillah, memang pada awalnya terdapat segala macam jenis kesusahan, tetapi berkat usaha dan bantuan yang diterima daripada KPLB dan agensi berkaitan, membuatkan saya yakin dan dapat membawa Sambal Rindu terus ke depan,” katanya lagi.

Selain bantuan dana, pihak agensi seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) dan lain-lain turut memberikan khidmat nasihat dan tunjuk ajar mengenai penghasilan produk makanan.

“Terdapat banyak standard yang terlibat dalam penghasilan makanan, jadi KPLB menerusi agensi banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya.

“Saya bukan orang hebat (dalam perniagaan), tetapi terdapat banyak agensi di bawah KPLB yang membantu saya.

“Jadi, saya menyeru usahawan lain supaya merebut peluang ini dan jangan malu untuk dekati agensi berkaitan, kerana mereka mempunyai banyak inisiatif membantu orang seperti kita,” jelasnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here