Lelaki cuba terjun dari Jambatan Sultan Mahmud positif dadah

0
12
Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki cuba terjun dari Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU – Lelaki berusia 29 tahun yang diselamatkan orang awam ketika cuba terjun dari Jambatan Sultan Mahmud di sini semalam disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, siasatan awal mendapati tindakan lelaki berkenaan berpunca daripada masalah tekanan emosi akibat masalah peribadi.

“Selain itu ujian air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata, dalam kejadian petang semalam itu, tindakan lelaki berkenaan yang berdiri di luar penghadang jambatan disedari orang awam yang berjaya memujuknya daripada terjun.

“Lelaki itu juga telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Video berdurasi 15 saat memaparkan seorang lelaki yang cuba terjun dari Jambatan Sultan Mahmud tular di media sosial semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here