Lima syarikat tempatan berpotensi capai status ‘unicorn’ tidak lama lagi – DUN Selangor

0
19

SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu, sebanyak lima syarikat ‘start up’ di negeri ini berpotensi mencapai status ‘unicorn’ pada masa akan datang.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Industri Kecil dan Sederhana Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim berkata, kelima-lima syarikat itu adalah Aerodyne, Dropee, Fave, TheLorry dan Naluri Hidup.

“Adalah penting untuk kita mengenal pasti lebih banyak lagi syarikat yang berpotensi mencapai status tersebut di negeri ini kerana ia menyumbang kepada inovasi, peluang pekerjaan dan juga sumber kewangan,” kata Chang Kim.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Edry Eddy Yusof (PH – Dusun Tua) yang bertanya mengenai berapa banyak syarikat di Selangor yang berpotensi menjadi ‘unicorn’ di masa hadapan.

Untuk rekod, ‘unicorn’ merujuk kepada syarikat start-up persendirian yang bernilai lebih USD1 bilion (RM4.46 bilion).

Tahun lepas, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan lima syarikat di negara ini mencapai status tersebut dalam masa lima tahun.

Teng berkata, Carsome muncul sebagai syarikat pertama yang mencapai ‘unicorn’ tahun lepas.

Carsome merupakan sebuah syarikat kereta e-perdagangan bersepadu mula beroperasi di Selangor sejak 2015.

Kata Teng lagi, oleh kerana populasi dan saiz pasaran Malaysia tidaklah sebesar negara Asia Tenggara lain, usahawan tempatan perlu mengembangkan operasi mereka di rantau ini bagi mencapai status tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here