Menyerang kerajaan umpama menyerang kerajaan pimpinan BN – tegas PM 

0
21
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beramah mesra dalam Majlis Makan Malam Ahli Dewan Tertinggi BN Bersama Kepimpinan BN Sabah di Bangunan UMNO, Karamunsing di sini malam tadi.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan ada cubaan pihak luar memecahbelahkan perpaduan dalam Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hangat diperkatakan.

“Saya adalah Perdana Menteri yang memimpin Kerajaan Persekutuan pada masa ini dan sebarang perbuatan menyerang kerajaan adalah umpama menyerang kerajaan pimpinan BN.

“Sebenarnya malam ini saya tidak berucap, sepatutnya saya diberi slot esok (di Konvensyen BN Sabah) tetapi saya minta maaf tidak dapat hadir… saya berucap malam ini walaupun lima minit sebab dah ada orang kata Perdana Menteri disekat daripada berucap di Konvensyen BN Sabah.

“Apa berlaku malam ini jelas menunjukkan bahawa pihak di luar sedang cuba memecahbelahkan perpaduan sesama kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ahli Dewan Tertinggi BN Bersama Kepimpinan BN Sabah di Bangunan UMNO, Karamunsing di sini malam tadi.

Yang hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN; Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua ahli BN supaya sentiasa berusaha ke arah merapatkan perpaduan sesama sendiri serta meletakkan fokus yang jelas untuk menentang pembangkang dan bukan menyerang sesama sendiri.

“Jadi, apa sebab kita menyerang sesama sendiri kecuali kita nak berperang sesama sendiri dalam pemilihan parti. Sebab itulah pembunuhan karakter berlaku sebab kita nak ‘bunuh’ sesama sendiri kerana akan berlaku pertandingan sesama kita.

“Tetapi apabila kita sudah tentukan tidak akan berlaku pertandingan sesama kita tetapi akan berlaku PRU dulu, patut fokus kita mesti ke arah PRU, bila PRU itu kita akan bincang, saya akan bincangkan dengan kepimpinan tertinggi UMNO, bincang dengan kepimpinan BN, waktu itu kita putuskan,” ujarnya lagi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Konvensyen BN Sabah yang akan berlangsung esok selain menjadi medan untuk merapatkan saf dalam parti juga perlu menjadi wadah meletakkan hala tuju dan gerak kerja ke arah persediaan menghadapi PRU15.

“Saya tanya pada Bung (Moktar) dia kata ‘Sabah Tatap Ready’… saya dan rakan-rakan dalam kerajaan banyak isu (perlu) diselesaikan, harga barang, kos sara hidup.

“Pembangkang sekarang apabila dapat gambaran pilihan raya akan diadakan, akan memulakan momentum ke arah menentang kerajaan untuk menaikkan sentimen rakyat tentang kerajaan.

“Kerajaan akan terus cuba mengelakkan kenaikan harga barang yang melampau bagi memastikan rakyat tidak begitu tertekan.

“Lebih RM70 bilion dibelanjakan untuk memberikan subsidi kepada barangan tertentu dalam usaha mengawal kenaikan harga,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here