Mesyuarat ke-4 Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi esok bincang kedudukan terkini bekalan makanan

0
10

PUTRAJAYA – Mesyuarat keempat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berlangsung esok akan memfokuskan laporan kedudukan terkini bekalan makanan seperti minyak masak, ayam dan telur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan itu akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Ini penting kerana ia dibangkitkan rakyat. Terdapat kedai yang tiada bekalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan reruai Richiamo Coffee di Menara Prima, di sini hari ini.

Menurutnya, mesyuarat itu juga akan berkisar kepada tindakan yang telah diambil dan setakat mana tahap keberkesanannya.

“Ia bagi memastikan harga di pasaran tidak melebihi harga siling ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai intipati perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat esok.

Pada Rabu minggu lepas, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Ia dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali selain Mustapa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here