Najib kecewa gaji Ketua Menteri, semua ADUN Sabah dinaikkan 

0
40
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menzahirkan rasa kecewa dengan langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang meluluskan usul untuk menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

Beliau berkata, usul untuk menaikkan jumlah saraan itu tidak patut dibuat pada masa sekarang.

Pada masa sama, katanya, usul tersebut juga tidak menjaga sensitiviti rakyat ketika ini.

“Tak sepatutnya dibuat masa sekarang. Tak sensitif pada rakyat. Saya agak kecewa,” katanya ketika membalas komen oleh seorang netizen di laman Facebooknya hari ini.

Semalam, usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 dicadangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu telah diluluskan dengan suara terbanyak.

Dengan kelulusan itu, saraan Ketua Menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan kepada RM33,033; Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 (RM29,221.50); Menteri RM16,335 (RM22,869); Speaker DUN RM16,335 (RM22,869); Pembantu Menteri RM12,705 (RM17,787); Timbalan Speaker DUN RM12,705 (RM17,787); ADUN RM7,950 (RM11,130); dan Setiausaha Politik RM5,445 (RM7,623).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here