Najib persoal usaha roboh Stadium Shah Alam

0
36
Stadium Shah Alam yang pernah menjadi saksi banyak temasya bola sepak negara.

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengkritik Kerajaan Negeri Selangor yang sebelum ini dilapor sedang mempertimbangkan cadangan meroboh Stadium Shah Alam.

Najib berkata, kesukaran untuk menyelenggara stadium yang dibina pada 1994 itu tidak sepatutnya dijadikan alasan (merobohkan) kerana ada lebih banyak stadium yang dibina lebih awal tidak pula dirobohkan kerana faktor usia.

Katanya, Stadium Shah Alam juga sepatutnya dinilai sebagai bangunan warisan sejarah bola sepak negara yang perlu dipelihara.

“Stadium Shah Alam sarat dengan sejarah dalam kancah bola sepak tempatan. Tidak boleh dipisahkan dengan Selangor FC sebagaimana Old Trafford dan Anfield dikaitkan rapat dengan Manchester United dan Liverpool,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Selain itu menurut Najib, cadangan untuk menggantikan stadium berkapasiti 80,000 penonton itu dengan stadium lebih kecil berkapasiti 40,000 juga satu tindakan yang tidak bijak.

“Alasan stadium lebih kecil untuk lebih mudah dijaga? Kurang separuh daripada saiz Stadium Shah Alam?,” soalnya.

Petikan laporan media arus perdana mengenai cadangan perobohan Stadium Shah Alam.

Menurut Najib, alasan sukar untuk dijaga dan diselenggara jelas membuktikan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan mengurus fasiliti sukan negara selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

“Selepas 14 tahun PH jaga, stadium ini dikatakan mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat diselamatkan?

“Apa yang PH buat dalam tempoh 14 tahun yang mereka jaga stadium ini? Kenapa apa yang jatuh ke tangan PH akan hancur?,” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here