Tidak mustahil lebih banyak aset Petronas akan dirampas – Najib Razak

0
203
Najib Tun Razak

CYBERJAYA – Selepas kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, negara kini berdepan dengan tuntutan bayaran pampasan sebanyak RM66 bilion kepada keturunan Sultan Sulu, jika tidak mahu kehilangan wilayah Sabah.

Demikian kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mengulas perkembangan kes rampasan dua anak syarikat milik Petronas di Azerbaijian dan di South Caucasus.

Rampasan dengan anggaran nilai berjumlah AS$2 bilion (RM8.9 bilion) yang dilakukan melalui firma guaman berpangkalan United Kingdom itu adalah sebagai tuntutan ganti rugi terhadap kerajaan Malaysia.

Najib dalam kenyataannya menyalahkan kemelut yang berlaku itu kepada bekas Peguam Negara semasa pemerintahan Pakatan Rakyat (PH), Tan Sri Tommy Thomas.

“Keturunan Sulu saman negara kita pada tahun 2019 ketika pentadbiran kerajaan PH atas alasan Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir wilayah yang kini Sabah setelah negara hentikan bayaran RM5,300 setiap tahun.

“Bayaran tersebut dihentikan pada tahun 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu yang mengakibatkan pengorbanan 10 ahli anggota negara keselamatan,” katanya melalui Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, selepas kalah dalam kes mahkamah di Sepanyol, Malaysia telah diarah membayar gantirugi kepada Sultan Sulu, dan kini berdepan tuntutan yang lebih besar iaitu wilayah Sabah.

Bahkan katanya tidak mustahil akan ada lebih banyak ‘tuntutan’ dikemukakan termasuk melalui rampasan aset-aset Petronas di lebih banyak tempat.

“Terima kasih Tommy dan kerajaan PH! Sudah rampas US$2 bilion (RM8.88 bilion). Boleh rampas lagi US$12,92 bilion daripada US$14.92 bilion (RM66 bilion) yang kita kalah kes kepada pewaris Sulu.

“Petronas menjalankan bisnes di banyak negara. Nak rampas secukup-cukupnya jumlah RM66b itu bukan perkara susah.

“Pulau Batu Puteh dah hilang. Kini giliran kita kena bayar RM66 bilion sekiranya tak mahu hilang Sabah juga,” katanya.

Najib pada 13 Mac lalu menyuarakan kebimbangan berhubung negara kalah kes mahkamah di Sepanyol dan diarahkan untuk bayar gantirugi sebanyak RM63 bilion kepada keturunan Sultan Sulu yang jika gagal Malaysia perlu serahkan wilayah Sabah.

Menurut Najib, beliau juga tidak faham kenapa Tommy yang menjadi Peguam Negara pernah menawarkan bayaran “tunggakan” dari tahun 2013 hingga tahun 2019 berjumlah RM48,300 bagi menyelesaikan kes tuntutan Sultan Sulu berkenaan.

“Sehingga hari ini, Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad), Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Mat Sabu (Mohamad Sabu) dan Guan Eng (Lim Guan Eng) masih membisu berkenaan isu kes Sulu ini.

“Saya tanya lagi: Adakah surat yang luar biasa bodoh ini diluluskan jemaah menteri kerajaan PH masa itu ataupun ianya hanya surat dari Tommy sebagai Peguam Negara sahaja?” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here