Pangsapuri Ruvena Villa diberi nafas baharu, naik taraf berjumlah RM139,000 

0
16
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail (kanan) merasmikan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di sini, hari ini.

SEPANG – Lebih 900 buah keluarga penghuni Pangasapuri Ruvena Villa bakal menerima manfaat hasil Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor yang dirasmikan di sini, hari ini.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain sebanyak RM139,000 telah diperuntukkan untuk menaik taraf kawasan lapang seluas 1.21 ekar di pangsapuri itu.

“Kerja-kerja untuk projek ini telah bermula pada 15 Februari lalu dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

“Walau bagaimanapun, pihak kontraktor berjaya menaiktaraf kawasan lapang ini lebih awal pada iaitu pada 15 Jun lalu dalam tempoh empat bulan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian Projek Fizikal Berdaya Huni Negeri Selangor, SDG 11 yang diadakan di Pangsapuri Ruvena Villa hari ini.

Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor yang berjaya disiapkan di Pangsapuri Ruvena Villa, Sepang.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail; Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Zulnaidy Zulkifli dan Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim.

Tambah beliau lagi, Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni itu merupakan salah satu inisiatif bersama dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG).
 
“Secara tidak langsung dengan pelaksanaan projek ini kita telah mencapai salah satu SDG, iaitu SDG 11 : Bandar dan Komuniti Mampan,” ujarnya lagi.


Beliau juga berharap seluruh penduduk di Pangsapuri Ruvena Villa ini bersama untuk menjaga kemudahan yang telah disediakan di kawasan lapang itu.

Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di Pangsapuri Ruvena Villa, Sepang.

Sementara itu menurut Rodziah, beliau berpuas hati dengan hasil projek itu dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor yang sudi mengeluarkan bajet untuk membangunkan kawasan terbiar di negeri ini.

“Alhamdulillah MPSepang telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek bagi salah satu daripada lima lokasi yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor tahun ini.

“Kita ada lima lokasi yang dibuat setiap tahun untuk pastikan kawasan lapang yang terbiar ini akan ditambah nilai.

“Di sini juga tempat kita mahu lihat penggunaan teknologi itu digunakan semaksima mungkin, macam kita lihat ada tenaga solar digunakan untuk menghidupkan lampu di taman ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here