PDRM siasat dakwaan anggota UTK kasari petugas media

0
19

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan Gerakan Media Merdeka (Geramm) bahawa tiga petugas media dikasari anggota Unit Tindakan Khas (UTK) ketika menghadiri sebuah majlis di Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun mengesahkan tiada anggota UTK terlibat dalam kes berkenaan.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian tersebut,” katanya.

Tambahnya, PDRM akan mengambil tindakan tegas sekiranya siasatan mengesahkan terdapat sebarang bentuk pelanggaran kod etika dan tatasusila oleh mana-mana anggota keselamatan semasa menjalankan penugasan di majlis tersebut.

Katanya lagi, pihak polis sentiasa menghargai pengamal media dan menghormati peranan mereka dalam menyebar informasi kepada masyarakat, khususnya bagi membantu memerangi jenayah.

Menurutnya, hubungan erat pengamal media dan PDRM selama ini akan dikekalkan agar masyarakat mendapat maklumat yang tepat melalui sumber sahih.

Geramm sebelum ini mendakwa, tiga petugas media dikasari anggota pasukan keselamatan dalam majlis pelancaran satu parti politik di Tanah Merah, Kelantan, semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here