Pekerja asing: Jangan bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja

0
4
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Majikan digesa mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang telah diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, gesaan itu antara salah satu ketetapan yang diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan beliau di Putrajaya hari ini.

“Kerajaan mendengar keluhan dan pandangan daripada pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal.

“Kerajaan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan pihak swasta melalui sesi libat urus yang berterusan,” kata beliau dalam kenyataan selepas mesyuarat itu semalam.

Dalam mesyuarat tersebut, MTE telah membincangkan tiga perkara utama iaitu isu pengambilan pekerja asing, mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan dan sekuriti makanan.

Ismail Sabri Yaakob (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan akan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini.

KSM juga, jelas beliau, digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di Pusat Sehenti (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk membenarkan pekerja asing dari semua 15 negara sumber bekerja dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, persetujuan itu diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketujuh Bilangan 1 Tahun 2022.

Katanya, mesyuarat bersetuju untuk meluluskan permohonan bagi penggajian pekerja asing di subsektor gudang darat, industri sarang burung walet,subsektor barang lusuh dan juga subsektor dobi.

Baru-baru ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilapor berkata, Indonesia menghentikan sementara semua proses berkaitan pengambilan pekerja dari negaranya di semua sektor berkuat kuasa serta-merta.

Ia susulan wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang sudah dimeterai untuk digunakan sebelum ini dan pihaknya sudah menghantar maklum balas itu kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Pembekuan itu dikatakan berpunca daripada penggunaan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (SMO) yang sepatutnya tidak terpakai kepada pembantu rumah Indonesia berikutan perjanjian persefahaman (MoU)) yang ditandatangani pada April lalu.

Mengenai kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan, Perdana Menteri berkata, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diminya menyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya.

“Tumpuan juga perlu diberikan kepada penubuhan MyMudah di pihak berkuasa tempatab (PBT) dalam memastikan isu-isu birokrasi di peringkat tersebut dapat ditambah baik,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 30 peratus isu-isu yang diterima melalui MyMudah telah diselesaikan dalam masa kurang daripada 60 hari seperti mana yang disasarkan.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan turut menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks juga dalam tempoh 60 hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here