Pelawak wanita hina Islam dibebaskan, tidak didakwa di Mahkamah Syariah hari ini

0
55
Siti Nuramira Abdullah ketika diiringi polis ke mahkamah minggu lalu

KUALA LUMPUR – Pelawak wanita yang. didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah tidak didakwa di Mahkamah Syariah, di sini, hari ini.

Siti Nuramira yang sepatutnya didakwa dalam satu prosiding yang dijadualkan bermula jam 9 pagi ini dibebaskan tanpa jaminan atau bon oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Malah, petugas media yang berkumpul sejak pukul 8 pagi di perkarangan mahkamah juga tidak melihat kelibat wanita berusia 26 tahun itu atau peguamnya.

Dalam pada itu, paralegal kepada peguam R Sivaraj, Hannann Syoffeeya Zainal Syahrir dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai JAWI yang dikenali sebagai Hanini kira-kira jam 10 malam tadi memberitahu Siti Nuramira akan dibebaskan dengan jaminan JAWI serta-merta.

Katanya, JAWI akan berhubung dengan Siti Nuramira atau pihaknya apabila sudah bersedia untuk meneruskan prosiding pendakwaan.

“Pasukan peguam syariah kami sudah bersiap sedia untuk prosiding pendakwaan di mahkamah hari ini.

“Bagaimanapun, setakat jam 9 malam tadi, kami masih tidak dapat mendapatkan seorang penjamin untuk membantu Siti Nuramira pada hari ini.

“Individu terbaik yang kami ada adalah Adnan Miharja, seorang akauntan bertauliah dari London yang baru pulang ke Malaysia namun peguam syariah berasa kesesuaiannya diragui jadi kami terus mencari,” katanya.

Menurut Hannann Syoffeeya, dia diberitahu Siti Nuramira dibawa ke rumah ibu saudaranya di Kelana Jaya, Selangor pada awalnya namun wanita itu menolak untuk menerima dan menempatkan anak saudaranya itu.

“Siti Nuramira kemudian dihantar ke sebuah lokasi di ibu kota iaitu tempat saya menetap.

“Saya membawanya ke dalam kereta saya dan dia meminta bertemu peguamnya Sivaraj dengan segera sebelum saya menghantarnya pulang ke rumah di Petaling Jaya.

“Dia berjumpa Sivaraj di Lebuh Pasar Besar berhampiran Masjid Jamek dan kemudian beredar.

“Kami tiba di rumahnya kira-kira tengah malam, Alex (teman lelakinya) terkejut dan mereka berdua berpelukan antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Sivaraj ketika dihubungi mengesahkan Siti Nuramira tidak akan datang ke mahkamah kerana tiada pendakwaan dikenakan terhadap anak guamnya hari ini.

“Tiada sebab nak ke sana (mahkamah) pendakwaan tidak diteruskan hari ini.

“Semalam, saya tidak terbabit kerana Hannann Syoffeeya yang berhubung dengan pegawai JAWI,” katanya.

Difahamkan, pendakwaan itu tidak diteruskan kerana ia membabitkan tuduhan sama dan hukuman yang dikenakan terhadap wanita itu di mahkamah sivil lebih berat daripada hukuman di mahkamah syariah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here