Pemandu 4×4 pandu secara berbahaya, hampir sebabkan kemalangan dicari polis

0
37
Tangkap layar sebuah kenderaan 4×4 yang memotong di garisan berkembar di Janda Baik, Pahang

CYBERJAYA – Polis sedang mengesan seorang pemandu pacuan empat roda (4×4) yang memotong  di garisan berkembar sehingga hampir menyebabkan kemalangan dalam satu kejadian di Jalan Janda Baik, Bentong di Pahang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mana-mana saksi kejadian juga turut diminta tampil untuk beri keterangan bagi membantu siasatan.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menjalankan siasatan awal mengesan pemilik kenderaan pacuan empat roda dan akan memanggil pemandu tersebut untuk memberi keterangan.

“Jika didapati bersalah, pemandu pacuan empat roda tersebut boleh dikenakan saman atas kesalahan memotong di kawasan garisan berkembar di bawah kaedah-kaedah lalu lintas 167/59 iaitu Rule 12(3)(A) yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau boleh dikenakan penjara tidak melebih enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian yang melanggar undang-undang jalan raya tersebut dimohon untuk tampil memberi maklumat dan kerjasama kepada polis.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah, serta tidak mementingkan diri sendiri.

Sebelum itu, tular di media sosial hari ini mengenai pemandu 4×4 terbabit yang disyaki potong garisan berkembar ketika melalui satu lokasi di Jalan Janda Baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here