Pemandu lori, syarikat terlibat kemalangan di JB-Woodland berdepan tindakan tegas

0
60
Sebuah lori merempuh beberapa kenderaan dalam satu kejadian di Johor Bahru-Woodlands pagi tadi.

CYBERJAYA – Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat susulan kejadian sebuah lori melanggar beberapa buah kenderaan lain di Johor Bahru-Woodlands pagi tadi.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sehubungan itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan segera menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden tersebut.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah JPJ melengkapkan audit ICOP.

“Ini termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pihak polis juga akan membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori tersebut.

Pada masa sama, katanya, pihak MIROS pula akan menyiasat dari aspek teknikal, untuk mencari punca kemalangan tersebut berlaku.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian semasa kemalangan tersebut berlaku diminta menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video jika ada, bagi membantu siasatan.

“Saya amat memandang serius kes-kes seperti ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak. Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here