Pembantu kedai warga asing ditahan kes bunuh rakan senegara

0
16
Gambar hiasan

AMPANG JAYA – Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga Indonesia di hadapan sebuah rumah sekitar Jalan AU2A/14, Taman Keramat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh.

“Mangsa yang meninggal dunia tersebut mempunyai kesan darah pada bahagian mulut dan satu tikaman pada bahagian dada.

“Polis yang tiba selepas kejadian telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, punca kejadian disebabkan pertengkaran antara suspek dan mangsa.

“Soal siasat akan diteruskan untuk mengetahui punca sebenar kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

“Polis turut merampas sebilah pisau berukuran 12 inci di rumah tersebut yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Tambahnya, hasil semakan mendapati kedua-dua mereka mempunyai dokumen perjalanan.

“Suspek akan dipohon reman pada hari ini di Mahkamah Ampang dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here