Pemberian Arab Saudi, kerajaan tiada kuasa hapuskan visa furada

0
52
Sebahagian jemaah yang ditipu sebuah agensi haji yang berlindung di sebalik visa furada baru-baru ini.

KOTA BHARU – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghapuskan visa furada yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, visa furada adalah hak kerajaan Arab Saudi kepada pihak tertentu melalui kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

“Itu adalah hadiah khas daripada Raja Saudi kepada individu tertentu yang ada hubungan baik dengan beliau. Cumanya, proses berkenaan melalui kedutaan Arab Saudi yang akan kenal pasti siapa yang akan dihadiahkan visa itu.

“Visa itu bukan hak kita dan kerajaan Malaysia tidak boleh dan tidak ada kuasa untuk membatalkan mahupun menyekat visa furada itu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Qurban Perdana Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji (TH).

Mengulas mengenai cadangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) mengesyorkan supaya setiap agensi pelancongan yang diberi kelulusan sebagai perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) diulang ganti setiap dua tahun sekali, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya akan mempertimbangkan perkara itu.

“Sehingga kini terdapat 22 agensi pelancongan yang berdaftar dengan TH di bawah PJH dan mereka ada kelayakan tertentu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here