Penipuan jemaah haji perlu dibawa ke muka pengadilan

0
28
IDRIS AHMAD

CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mahu siasatan terperinci dilakukan terhadap penipuan jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam tadi.

Beliau yang melahirkan kekecewaan susulan insiden itu mahu pihak yang tidak bertanggungjawab itu dibawa ke muka pengadilan.

“Saya telah dimaklumkan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap perkara ini dan tindakan pihak juga telah dimulakan bagi proses siasatan.

“Saya kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia melibatkan urusan rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji.

“Saya juga meminta siasatan terperinci dapat dilakukan oleh pihak berkuasa. Sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak yang terbabit perlulah dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal,” jelasnya.

Dalam kejadian petang semalam, kira-kira 400 jemaah haji terkandas di KLIA dan Hotel Movenpick selepas ditipu syarikat pengurusan ibadah haji.

Pada masa sama, Idris turut mengingatkan agar umat Islam agar lebih berwaspada dan mendapatkan nasihat yang tepat daripada pihak Tabung Haji meskipun menggunakan khidmat agensi swasta untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Ia sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak berulang lagi kes sedemikian.

Pada kenyataan sama beliau turut memohon pihak jemaah haji yang terkandas serta seluruh keluarga agar tabah dengan dugaan itu.

“Saya memohon kepada pihak yang teraniaya dan seluruh keluarga yang terlibat agar tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah, untuk bermunajat dan memanjatkan doa bagi mendapatkan keredaan Allah, walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Mekah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here