Perobohan Stadium Shah Alam masih dibincangkan

0
22
Amirudin Shari

KUALA SELANGOR – Kerajaan Negeri Selangor masih belum membuat keputusan berhubung status Stadium Shah Alam yang dicadangkan supaya dirobohkan kerana terlalu ‘daif’.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, segala keputusan akan diumum pada 16 Julai ini bersempena hari pembukaan stadium terbabit.

“Buat masa ini tidak elok jika saya huraikan keseluruhan kerana ia melibatkan perbincangan banyak pihak yang semuanya terbabit dalam pengurusan bola.

“Cadangan merobohkan adalah salah satu pilihan kerana kita terpaksa menjalankan kerja penyelenggaraan pada setiap tahun,” katanya pada program Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor hari ini.

Amirudin berkata, kos penyelenggaraan stadium itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi sehingga mencecah RM5 juta setahun.

Beliau berkata, pertimbangan untuk merobohkan stadium itu dilakukan kerana kerajaan negeri tidak boleh menanggung kos baik pulih semata-mata sekiranya banyak perkara yang memerlukan penyelenggaraan.

“Sudah tiba masa pelan jangka panjang diputuskan bagi mengambil kira soal keselamatan stadium.

“Cadangan merobohkan adalah salah satu pilihan kerana kita terpaksa menjalankan kerja penyelenggaraan Stadium Shah Alam pada setiap tahun,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga mengambil kira keperluan aspek teknologi dan kelengkapan sistem yang baharu untuk menjadikan sebuah stadium lengkap dengan fasiliti yang sepatutnya.

“Perkara ini akan dinilai oleh kumpulan profesional secara teknikal bagi memastikan segala keperluan dan keputusan diambil nanti membawa kepada kepentingan stadium itu pada masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here