Persatuan peruncit sarankan kerajaan tarik balik subsidi dan naikkan bantuan tunai

0
63
AMEER ALI MYDIN

CYBERJAYA – Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menyarankan kepada kerajaan supaya mengurangkan atau menarik semula semua subsidi, dan menaikkan bantuan terus kepada rakyat termasuk golongan M40 yang berkemungkinan sudah jatuh dalam kumpulan B40.

Presidennya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, penetapan harga siling dan pemberian subsidi dalam tempoh yang panjang akan menyebabkan ekonomi negara terbantut.

“Kita tahu kerajaan prihatin dan nak tolong rakyat. Jadi, bantuan kepada rakyat itu kena dinaikkan.

“Bantuan rakyat kita naikkan, kurangkan subsidi. Salurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika muncul dalam program Niaga Awani, hari ini.

Ameer yang juga pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad berkata, penarikan subsidi secara berperingkat wajar dilakukan dan wang berkenaan boleh disalurkan kepada golongan memerlukan termasuk golongan M40, yang kini turut terbeban akibat kenaikan kos sara hidup.

“Kalau boleh, kita keluarkan semua subsidi tetapi bantuan kita kena naikkan. RM100 (nilai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia) untuk tiga bulan tidak mencukupi dan sekarang ini kita bagi bantuan ini kepada B40 sahaja.

“Sekarang ini, M40 juga sudah ramai jadi B40, jadi data kerajaan mungkin perlu dinilai semula. Pendapatan isi rumah ditetapkan RM4,000, mungkin boleh dinaikkan kepada RM6,000. Barulah cukup,” katanya.

Beliau memberi contoh, jika pasangan suami isteri bekerja dengan nilai keseluruhan pendapatan RM4,500 sebulan, namun keluarga itu berisiko berdepan masalah sekiranya mempunyai empat hingga lima anak.

“Mana nak tahan, dapat RM100 lebih? Tak mencukupi,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan subsidi minyak paket dengan jumlah keseluruhan hampir RM1.8 bilion itu distrukturkan semula dan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here