Petronas sahkan dua anak syarikat miliknya dirampas

0
332
Petronas

CYBERJAYA – Syarikat petroleum, Petronas mengesahkan  kedua-dua anak syarikat miliknya seperti dalam laporan menyatakan waris Kesultanan Sulu merampas dua anak syarikatnya tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ semalam.

Menurut syarikat petroleum itu dalam satu kenyataan, kedua-dua anak syarikat itu, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Azerbaijan dan hasilnya telahpun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya.

“Petronas menganggap tindakan yang diambil ini sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan kami dari segi undang-undang dalam hal ini,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Waris Kesultanan Sulu yang sebelum ini menuntut sebanyak AS$14.92 (RM62.59 bilion) dari Malaysia dilaporkan merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg.

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Menurut pasukan peguam, kedua-dua anak syarikat itu dirampas oleh bailif di Luxemborg yang mewakili waris Sulu berkenaan.

Keturunan Sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II menuntut jumlah tinggi sebagai pampasan dari Malaysia susulan daripada proses timbang tara.

Proses itu dimulakan sebagai tindak balas terhadap Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada Kesultanan Sulu pada 2013.

Malaysia tidak terlibat dalam proses tersebut yang berlangsung di Perancis dengan alasan, pertikaian antara negara itu dengan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial.

Oleh hal yang demikian, Malaysia tidak tertakluk dalam proses timbang tara berkenaan.

Namun, peguam waris Sulu berhujah, Malaysia merupakan penandatangan Konvensyen Mengenai Pengiktirafan dan penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara Asing (Konvensyen New York).

Sehubungan itu, anak guam mereka mempunyai hak untuk merampas aset Malaysia di 167 negara penandatangan jika jumlah yang dituntut tidak dibayar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here