PM arahkan mangsa banjir Baling dibantu segera

0
7

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan supaya bantuan segera disampaikan kepada mangsa terjejas akibat banjir di Baling, Kedah.

Katanya, beliau telah mengarahkan setiausaha politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus untuk turun ke kawasan bencana seterusnya memastikan bantuan disalurkan secepatnya kepada mangsa.

“Saya berasa sedih dan sangat simpati dengan kejadian bencana banjir yang berlaku di Baling, Kedah yang mengakibatkan tiga nyawa terkorban, setakat ini.

“Walaupun berada di Turki untuk lawatan rasmi, saya sentiasa mengikuti perkembangan yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

“Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa,” katanya dalam satu hantaran di laman di Facebook miliknya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau juga telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu mangsa banjir dan mendoakan mereka tabah menghadapi dugaan ini.

“Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dan sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Terdahulu, banjir di kawasan terbabit berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak 2 petang semalam, menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk berdekatan tebing.

Kejadian itu turut mengorbankan tiga sekeluarga, termasuk seorang wanita hamil. Kesemua mayat mangsa telah ditemukan hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here