PM kecewa gaji ditawarkan majikan tidak setimpal

0
21
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kecewa apabila gaji yang ditawarkan oleh majikan pada masa sekarang tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja dilakukan anak-anak tempatan.

Perdana Menteri berkata, statistik MYFutureJobs menunjukkan gaji bagi kekosongan jawatan paling banyak ditawarkan di seluruh negara antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan.

“Kerajaan kini giat membangunkan ‘talent pool’ yang berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi, namun saya sedikit kecewa kerana gaji ditawar majikan tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja dilakukan oleh anak-anak tempatan.

“Saya mengingatkan majikan bahawa mulai 1 Mei lalu gaji minimum seseorang pekerja ialah RM1,500 bagi keselesaan hidup Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap sempena majlis perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Dalam pada itu katanya, bagi menangani ketidakpadanan ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) digesa berunding dengan pihak majikan dan wakil pekerja bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah ini.

Malah, beliau berkata, platform ‘tripartite’ Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru bagi mencapai kata sepakat antara kerajaan, majikan serta pekerja.

Mengulas lanjut mengenai Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, beliau berkata, gabungan lima elemen iaitu majikan, pekerja, ekonomi gig, keusahawanan dan perusahaan sosial, memberikan solusi kerjaya yang lengkap kepada rakyat Malaysia.

Katanya, ekspo kerjaya yang disokong dengan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs yang mampu melakukan padanan pekerjaan dan perkhidmatan kerjaya lain selain menawarkan inisiatif kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here