PM lancar model baharu Perodua Alza yang lebih versatil, canggih

0
24
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan model baharu Perodua Alza

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan generasi kedua Perodua Alza yang berwajah baharu untuk pasaran tempatan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Perodua yang kini merupakan syarikat automotif nasional utama negara sejak tahun 2006.

Malah beliau berkata, Perodua juga berjaya menjadi jenama buatan tempatan yang dipercayai di kalangan Keluarga Malaysia.

“Berdasarkan daripada laporan media massa mengenai model Perodua Alza Serba Baharu ini, saya amat tertarik dengan ciri-ciri canggih yang ada padanya dengan penambahbaikan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatil.

“Saya percaya model baharu ini akan diterima baik oleh seluruh Keluarga Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan aspek keselamatannya dipertingkatkan sesuai dengan aspek pemanduan di Malaysia,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga komited untuk membantu Perodua untuk melebarkan lagi sayapnya dengan mamasarkan kereta buatan mereka ke pasaran baharu di luar negara.

Beliau berkata, setakat ini jenama tersebut telah berjaya bertapak di enam buah negara.

“Saya berharap Perodua akan terus mempertingkatkan kebolehan pengeluarannya sekaligus mencapai skala ekonomi yang kompetitif setaraf dengan syarikat-syarikat asing di rantau ini.

“Peluang untuk kita maju amat cerah jika kita terus berusaha dan bekerjasama untuk mencapai kejayaan yang kita inginkan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga mengucapkan tahniah kepada pemegang saham Perodua, antaranya Permodalan Nasional Berhad, UMW Holdings Berhad, MBM Resources Berhad, Daihatsu Motor Company of Japan kerana masih dapat bekerjasama secara harmoni.

Beliau berkata, kestabilan itu amat penting bagi mengukuhkan industri automotif negara dan memberi keyakinan bukan sahaja kepada para pelanggan dan para pekerjanya malah kepada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here