PPIM beri peringatan kutipan derma van jenazah

0
83
Nadzim Johan

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum membuat sumbangan kepada mana-mana pihak yang mengutip dana untuk pembelian kenderaan angkutan jenazah di negara ini.

Ketua Aktivitis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu adalah bagi mengelak wang sumbangan yang disalurkan disalahgunakan untuk tujuan lain.

Beliau berkata, tanpa mengira kepada pihak mana derma itu disalurkan sama ada kepada penerima Islam atau bukan Islam, kesahihan mengenainya perlu diteliti.

Tambah beliau, sekiranya wujud perasaan ragu-ragu terhadap sesuatu kutipan, orang ramai perlu terlebih dahulu mendapatkan maklumat yang sahih mengenainya supaya tidak mudah diambil kesempatan.

“Kita tidak mahu menidakkan kerja amal atau kebajikan yang telah dilakukan oleh individu tersebut, malah kerjasama sesama rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus dipuji.

“Namun, jika penderma ada perasaan ragu-ragu, banyak tindakan yang boleh diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kutipan derma oleh orang perseorangan bukan Islam untuk mendapatkan sebuah van jenazah bagi kegunaan Institut Kanser Negara (IKN).

Berhubung isu itu, beliau mempertikaikan penggunaan akaun milik peribadi pengutip sumbangan sebagai saluran derma yang sepatutnya tidak berlaku.

“Adakah individu berkenaan menyediakan penyata akaun yang telus serta sejauh mana kebenaran pihak IKN memohon sumbangan sebuah van jenazah dari orang awam memandangkan IKN merupakan agensi atau entiti kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Nadzim atau lebih dikenali sebagai Tokki mengingatkan umat Islam untuk mengutamakan sumbangan kepada NGO-NGO Islam.

“Jangan terpedaya, bukan sahaja bukan Islam, ramai juga orang Islam yang berselindung disebalik pangkat ustaz yang menyalahgunakan agama dan mengenakan cas tinggi dalam pengurusan jenazah yang sepatutnya menjadi satu fardhu kifayah dikalangan umat Islam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here