Program Wilayah Bebas Berniaga dilanjut hingga 31 Dis

0
4
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Tempoh lesen Program Wilayah Bebas Berniaga (WBB) disambung bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, program yang dilancarkan pada 10 November 2020 itu dilanjutkan dengan penambahbaikan bagi mengatasi isu seperti halangan lalu lintas, kebersihan, pembinaan struktur kekal dan sebagainya.

Sebagai contoh, bayaran fi lesen bagi pembaharuan lesen sebanyak RM20 sebulan dan caj perkhidmatan sebanyak RM30 sebulan dikenakan bertujuan bagi menampung kos kerja-kerja pembersihan dan pengurusan.

“Waktu operasi perniagaan sebelum ini dibenarkan untuk sepanjang hari dihadkan kepada dua sesi sahaja bagi mengawal keadaan semasa di tapak dan bagi memudahkan kerja kebersihan dilaksanakan.

“Peniaga boleh memilih satu sesi sahaja tertakluk kepada kesesuaian lokasi iaitu bagi sesi satu yang bermula dari 7 pagi hingga 7 petang, atau sesi dua, 6 petang hingga 12 malam,” kata DBKL dalam kenyataan itu.

Sementara itu, saiz tapak atau kanopi yang dibenarkan hanya 8×8 kaki sahaja selaras kelulusan yang telah diberikan sebelum ini.

Sebarang penambahan saiz gerai di tapak tidak dibenarkan bagi memudahkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan, ujarnya.

DBKL berkata, pembaharuan lesen bagi aktiviti perniagaan barangan basah seperti ikan, ayam, sayur dan sebagainya tidak dibenarkan dan peniaga dikehendaki mengemukakan permohonan untuk masuk ke Pasar Terbuka / Pagi / Pasar Malam dan Pasar DBKL atau dikehendaki menukar jenis jualan selewat-lewatnya pada 30 September ini.

“Tindakan penguatkuasaan pelanggaran syarat-syarat lesen seperti meninggalkan barang di tapak, pembinaan struktur kekal, saiz kanopi melebihi had yang dibenarkan dan sebagainya akan dilaksanakan.

“Pemegang lesen dikehendaki mematuhi syarat -syarat yang telah ditetapkan seperti yang dinyatakan di dalam lesen,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here