PTPTN: Siswazah ijazah sarjana muda kelas pertama dikecualikan bayar balik pinjaman

0
18

CYBERJAYA – Peminjam Tabung Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berjaya mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama akan dikecualikan daripada membuat bayaran balik pinjaman.

Pengecualian itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika dalam ucapannya merasmikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun tabung tersebut di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, pengecualian itu diberikan buat peminjam yang tamat pengajian mulai 2019 tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

“Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat.

“(Pengecualian) Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya.

Perdana Menteri turut memuji peranan PTPTN di atas segala bakti dan komitmen yang dicurahkan sejak 25 tahun penubuhannya.

“Saya dimaklumkan seramai 3.67 juta Keluarga Malaysia telah dibantu bagi meneruskan pengajian dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM 66.87 bilion sehingga kini.

“Saya percaya, ramai yang telah menamatkan pengajian memperolehi pekerjaan yang baik dan secara langsung menaikkan taraf kehidupan mereka, sekali gus menjadi aset ataupun modal insan penting kepada negara,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here