Rebah ketika berkawad, seorang bapa saudara sanggup berkorban jadi benteng untuk anaknya berdiri semula

0
56
Sekeping foto yang membuatkan orang ramai sebak

KUALA LUMPUR – Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Itulah gambaran paling sesuai buat seorang lelaki warga emas yang sanggup lari di bawah terik matahari untuk membantu anak saudaranya yang tiba-tiba tumbang ketika berkawad.

Tindakan secara spontan lelaki yang ibarat bapa kepada anak yatim yang dikenali sebagai Nik Mohd Adhar itu, turut menyentuh hati tetamu yang hadir sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Kajang, hari ini tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang merasmikan majlis tersebut turut tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak apabila melihat kasih sayang yang dicurahkan oleh lelaki itu walaupun ia bukan melibatkan anak kandungnya sendiri.

Berkongsi detik itu melalui akaun Facebooknya, beliau mengakui banyak yang tersirat di sebalik turutan gambar yang turut dikongsi.

“Ketika anaknya terkujur tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu. Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata.

“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ‘ayah’, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali,” tulisnya.

Dalam foto yang dikongsi itu, seorang lelaki berkopiah dengan berkaki ayam berlari ke arah anak saudaranya selepas selipar yang dipakainya putus.

Lelaki itu terus mengangkat dan memapah Nik Mohd Adhar untuk bangkit kembali.

Turut dikongsi foto lelaki itu berdiri di belakang Nik Mohd Adhar dan bertindak sebagai benteng di belakang bagi mengelakkan anak saudaranya itu kembali rebah.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak menyangka apabila lelaki yang rebah ketika berkawad itu merupakan anak angkatnya.

Beliau berkata, pemuda itu diambil sebagai anak angkat selepas beliau kehilangan ibu dan bapa sejak di bangku sekolah lagi.

“Rupanya gambar yang viral hari ini merupakan anak angkat saya sendiri yang kini bertugas sebagai Penguatkuasa KPDNHEP di Tawau Sabah.

“Nama beliau adalah Nik Mohd Adhar. Beliau merupakan anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah seorang anak angkat kami sejak beliau di Sekolah Geting Tumpat lagi.

“Dalam gambar yang meluru kepada beliau dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya beliau jatuh pitam seketika ketika berkawat pagi tadi ialah bapa saudaranya yang bernama Abdul Aziz Ya’acob yang memeliharanya sejak kematian kedua ibu bapa Nik Adhar,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, beliau juga sempat menghubungi Nik Adhar yang memaklumkan ketika ketika kejadian dirinya demam namun tetap meneruskan upacara kawad berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here