Rumah Bonda dibenarkan beroperasi semula 

0
66
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razal. Foto-Farid Janudin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini membuat keputusan dengan membenarkan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur di Setapak yang dikenali sebagai Rumah Bonda dibuka semula selepas ditutup 12 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun premis berkenaan tidak boleh beroperasi sebagai pusat jagaan.

Rumah perlindungan berkenaan dikenakan tindakan penutupan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) kerana tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Majistret Nur Syafiqah Noorinda hari ini membenarkan untuk menanggalkan perintah penutupan seperti yang dipohon Rumah Bonda melalui pengerusinya Siti Bainun Razali dalam saman pemula difailkan 7 Jun lalu terhadap Jabatan JKM WPKL.

Menurut peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Rumah Bonda selaku plaintif, perintah itu diberikan Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993, tanpa bantahan daripada pihak JKM.

Beliau berkata, melalui perintah itu, Rumah Bonda hendaklah mengaku janji bahawa premis berkenaan tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.

Katanya, Rumah Bonda sudah dikompaun dan menjelaskan kompaun berjumlah RM5,000 pada 25 April lalu.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama saman pemula berkenaan, Siti Bainun berkata, dia kecewa apabila dimaklumkan Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun sudah dijelaskan sepenuhnya.

Tambahnya lagi, selepas tindakan itu dilaksanakan, beliau, ahli jawatankuasa dan sukarelawan tidak lagi mempunyai akses untuk memasuki Rumah Bonda, sekali gus menyukarkan usaha permohonan pendaftaran dan tidak boleh menjalankan kerja amal yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here