RUU Anti Lompat Parti: Bukti komitmen kerajaan capai kestabilan politik – PM

0
10
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) dan pindaan Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti di Dewan Rakyat hari ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mencapai kestabilan politik.

Perdana Menteri berkata, langkah itu juga dapat mengelakkan negara daripada terus berdepan dengan krisis politik yang tiada kesudahan.

“Kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti atau ‘lompat parti’ kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil mereka.

“Kerajaan juga sentiasa mendengar dan mempertimbangkan pandangan setiap Ahli-Ahli Dewan Rakyat termasuk ahli Jemaah Menteri terhadap keperluan menggubal peruntukan larangan bertukar parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas yang diwakili oleh pihak kerajaan dan pembangkang turut menerima pandangan bertulis daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), CSO, ahli akademik dan parti politik, antaranya seperti The Coalition for Clean and Fair Elections (BERSIH), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Malaysia Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR).

Beliau berkata, pindaan undang-undang itu juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya.

Sementara itu, katanya, pembentangan rang undang-undang itu merupakan satu sejarah besar negara dan berharap ia akan mendapat sokongan penuh dan diluluskan sebulat suara dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here