Saksi positif Covid-19, kes perbicaraan Zahid Hamidi ditangguhkan lagi

0
18
Bekas Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM – Kes perbicaraan melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini ditangguhkan sekali lagi selepas saksi terakhir pendakwaan masih positif Covid-19 dan dikuarantin hingga Ahad ini.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata, perbicaraan kes itu akan bersambung pada 10 hingga 12 Ogos ini seperti ditetapkan sebelum ini, memetik laporan BH Online.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memohon perbicaraan ditangguhkan kerana pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu masih tidak pulih daripada jangkitan berkenaan.

“Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara, namun Yang Arif (hakim) dukacita dimaklumkan bahawa saksi terakhir kami masih positif Covid-19.

“Jika diizinkan, kami mohon sambung bicara kes ini diteruskan pada tarikh ditetapkan sebelum ini,” katanya pada prosiding yang turut dihadiri Ahmad Zahid.

Selain Abdul Malik, kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Zander Lim Wai Keong manakala bekas Timbalan Perdana Menteri itu diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Hisyam Teh Poh Teik serta Hamidi Mohd Noh.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kes rasuah itu pada hari ini, kerana saksi terbabit disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, Raja Rozela berkata, tarikh baharu itu bergantung kepada tahap kesihatan pegawai penyiasat SPRM terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here