Saya tak pernah letak syarat kes digugurkan – Najib Razak

0
33

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyangkal dakwaan Anwar Ibrahim bahawa beliau pernah meletakkan syarat supaya kesnya digugurkan dalam mendapatkan persetujuan Akuan Sumpah (SD) bersama Ketua Pembangkang itu.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak pernah menggunakan pengaruh politiknya untuk melepaskan diri daripada kes mahkamah seperti yang didakwa Anwar.

“Langsung tak benar apa Nuar kata. Saya tak pernah minta sesiapa untuk gugurkan kes saya melalui pengaruh politik.

“Saya adalah orang parti dan saya akan sentiasa taat kepada keputusan parti,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pagi ini.

Anwar Ibrahim semalam mendedahkan Najib Razak menawarkan SD untuk menyokong beliau menjadi perdana menteri dengan syarat kes mahkamahnya “tidak diteruskan”.

Dalam kenyataan yang sama, Najib turut mempersoalkan kebenaran dakwaan Anwar yang mengaku memiliki 120 sokongan SD dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Tapi saya pelik. Sekiranya apa yang Anwar kata adalah benar bahawa dia ada sokongan 120 ahli parlimen, kenapa pula Istana Negara tidak lantik dia jadi PM?,”

“Dan kenapa dia buktikan sokongan ini melalui undian dalam parlimen – termasuk dengan cara menggagalkan undian bajet 2021 ketika itu?,” soal Najib.

Najib sebelum ini dilaporkan bersalah atas pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here