Sejarah tercipta, PM sifatkan pindaan RUU Lompat Parti demi pastikan kestabilan politik

0
19
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan tanda bagus kepada Ahli Parlimen yang menyokong pindaan RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang dan bebas yang melakar sejarah dengan lulusnya pindaan Perlembagaan berhubung tindakan melompat parti.

Perdana Menteri berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti itu penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat sama ada daripada blok kerajaan, pembangkang dan bebas yang melakar sejarah pada hari ini.

“Syabas kerana Ahli-ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui sistem Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan ucapan terima kasih juga kepada semua 54 ahli Parlimen yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka.

Beliau berkata, ini merupakan isyarat yang jelas bahawa ahli Parlimen mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan dan pelaksanaan.

Hari ini, sejarah tercipta apabila pindaan RUU berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

RUU berkenaan diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan seramai 209 ahli Parlimen yang hadir mengundi untuk menyokong, tiada yang menentang atau berkecuali, manakala 11 tidak hadir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here