Selangor, Negeri Sembilan teroka kerjasama bangunkan hab industri penerbangan

0
17

SHAH ALAM – Selangor berkemungkinan menjalin kerjasama dengan Negeri Sembilan dalam membangunkan hab industri penerbangan antara sempadan kedua-dua negeri pada masa akan datang.

Laporan Selangorkini menyebut, exco Perindustrian, Datuk Teng Chang Khim sebagai berkata, perbincangan tidak formal telah dibuat sebelum ini bersama exco negeri berkenaan bagi membincangkan perkara tersebut.

Namun, jelasnya, beberapa isu perlu dititikberatkan antaranya sambungan pusat selenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) yang jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ada pertukaran fikiran dan pandangan antara saya dan exco Negeri Sembilan untuk kolaborasi cuma setakat ini belum ada perbincangan secara serius.

“Pandangan saya ada kekuatan di Negeri Sembilan kerana nilai tanahnya rendah dan kos mendirikan kilang di sana rendah bersebelahan Selangor,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan wakil rakyat Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berhubung kolaborasi antara kedua-dua negeri untuk mewujudkan hab industri penerbangan di kawasan sempadan.

Terdahulu, Chang Kim berkata, Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan sedang meneliti langkah mendalam untuk merancakkan semula industri aeroangkasa pasca Covid-19.

Menurutnya, antara strategi diambil ialah pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentangkan semalam, yang turut menumpukan sektor berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here