Selepas Jepun, USSB lebar sayap dengan eksport pelet dari sawit ke China

0
48
AZMAN (depan kiri) dan Kumaravello Pillai bertukar perjanjian persefahaman selepas majlis menandatangani dokumen tersebut, baru-baru ini. 

PUCHONG – Syarikat Usaha Strategik Sdn Bhd (USSB) terus melebarkan sayap apabila memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan membekalkan pelet yang diproses daripada kelapa sawit untuk dijadikan aktiviti pertanian ke China.

Menurut Pengarah Urusan USSB, Azman Mat Isa, menerusi MoU itu syarikat milik penuh bumiputera tersebut akan membekalkan sebanyak 5,000 tan pelet sebulan yang bernilai RM100 juta ke Wilayah Henbei.

Katanya, proses pembekalan itu dijangka bermula pada November ini.

“Pelet hasil kaji selidik syarikat USSB dengan kerjasama beberapa pihak, ternyata amat berkualiti dengan kandungan nutrien yang tinggi serta membantu mempercepatkan proses penanaman cendawan.

“Permintaan pelet ini dibuat oleh sebuah syarikat besar dari Wilayah Henbei yang berjaya dalam industri tanaman cendawan secara besar besaran, sekaligus mempertingkatkan pendapatan penduduk tempatan dan keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pelet daripada sawit itu juga sesuai untuk dijadikan “animal bedding” bagi kegunaan haiwan ruminan seperti lembu.

Malah, katanya, melalui beberapa proses tambahan fomulasasi, ia juga berpotensi untuk dijadikan makanan haiwan ternakan.

“Kejayaan besar USSB dalam penghasilan pelet daripada kelapa sawit ini turut meraih minat dan perhatian pihak Alam Flora yang kini telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama melalui penghasilan produk berasaskan sisa biomas.

“Bersesuaian dengan misi menyokong kelestarian alam semulajadi, USSB yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman, tidak pernah jemu menjalankan pelbagai kaji selidik bagi meluaskan pasaran biomas.

“Susulan itu, Malaysian Palm Oil Berhad (MPOB) sentiasa teguh di belakang, memberi sokongan dalam merealisasikan hasrat USSB,” katanya.

Sebelum ini, USSB juga berpengalaman membekalkan produk daripada asas yang sama untuk pasaran luar negara.

Bahan asas itu dieksport ke Jepun untuk dijadikan bahan bakar bagi jana tenaga eletrik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here