Selepas teruk dikecam, Afdlin Shauki sokong Crackhouse ditutup

0
132
Tangkap layar seorang pelawak wanita menghina Islam ketika membuat persembahan di Crackhouse.

CYBERJAYA – Selepas teruk dikecam, pelawak dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki menarik balik sokongan supaya Kelab Komedi Crackhouse diberi kebenaran untuk beroperasi selepas diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Afdlin berkata, pelbagai pendedahan termasuk persembahan yang menyindir bangsa Melayu dan agama Islam oleh pemilik kelab itu sendiri amat mengecewakannya dan ia tidak dapat diterima oleh mana-mana pihak.

“Berdasarkan info-info yang terkini yang telah diberi kepada saya oleh rakan-rakan dan seperti mana yang saya terangkan semalam dalam rancangan live bersama Amin Idris, saya dengan sekeras-kerasnya mengecam apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.

“Walaupun hanya segelintir, jika ianya berterusan akan menjadi barah. Perbuatan-perbuatan seperti di atas yang di banggakan membuat saya rasa jijik dan saya tak boleh lagi memberi sokongan kepada Crackhouse Comedy Club,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini Afdlin dikecam pelbagai pihak apabila beliau membantah penutupan kelab komedi itu selepas tular video isu penghinaan terhadap agama Islam oleh seorang pelawak wanita.

Dalam pada itu Afdlin berkata, sokongan yang diberikannya sebelum ini hanya bertujuan untuk kesinambungan rezeki pelawak-pelawak yang mempunyai lawak berkualiti dan tidak menghina mana-mana pihak.

Afdlin Shauki

“Sekarang ini nasihat saya pada pelawak-pelawak stendap (stand up) cari dahulu tempat alternatif untuk mencari rezeki pasal benda ini tak akan settel awal dan seharusnya kita biarkan pihak berkuasa buat kerja mereka.

“Dan jika mereka di sabit kesalahan, mereka mestilah menerima pembalasannya. Abang mendoakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa dilindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki korang terus murah.

“Kita hanya boleh berjuang berdasarkan informasi yang diterima dan pada ketika ini, informasi ni membuat abang tak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus di buka,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here