Strok haba : 32 jemaah haji masih dirawat di Mekah 

0
11
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary diiringi Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar (kanan) menyambut kumpulan pertama jemaah haji seramai 298 orang yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

SEPANG – Seramai 298 jemaah haji Malaysia yang merupakan kumpulan pertama tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, dalam pada itu seramai 32 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan di hospital di Mekah kerana mengalami strok haba.

“Alhamdulilah, semua jemaah haji yang menerima rawatan dilaporkan stabil dan kita nasihatkan baki jemaah haji yang masih berada di Mekah untuk menjaga tahap kesihatan masing-masing.

Kumpulan pertama jemaah haji selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

“Walaubagaimanapun, rata-rata jemaah haji dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, selesa dan teratur meskipun cuaca agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah Celcius,” katanya ketika menyambut kepulangan jemaah haji kumpulan pertama hari ini.

Tambahnya lagi, penerbangan menerusi Malaysia Airlines (MH) dan Saudia Airlines disediakan bagi membawa semua 14,305 jemaah haji pulang ke tanah air bermula kelmarin hingga 13 Ogos ini.

“Jemaah haji akan balik secara berperingkat dan mengikut jadual yang ditetapkan Tabung Haji (TH) dan kita bersyukur operasi haji pada tahun ini berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Jemaah haji, Mohd Amri Abdul Rahman (kiri) membaca doa kesyukuran bersama empat beradik saudaranya yang berangkat ke Tanah Suci disambut oleh keluarganya ketika kumpulan pertama jemaah haji selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Ketibaan jemaah haji pada jam 9.05 pagi melalui penerbangan Saudia Airlines SV 5612 dari Jeddah, Arab Saudi tadi disambut Ahmad Marzuk sambil diiringi Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar di KLIA hari ini.

Sementara itu, Azman berterima kasih kepada semua pihak terbabit dalam operasi haji kali ini terutama Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia.

“TH amat berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara dan semua agensi yang terbabit dalam operasi haji di tanah air dan di Tanah Suci,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here