Suami isteri ditemukan maut dipercayai dibunuh ahli keluarga

0
34
ACP Yahaya Hassan menunjukkan gambar suspek, Ng Chun Ming berusia 61 tahun iaitu adik lelaki kepada mangsa kejadian bunuh di Taman Bercham Aman, Ipoh.

IPOH – Sepasang suami isteri ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh oleh seorang ahli keluarga itu sendiri di ruang tamu rumah mereka di Taman Bercham Aman di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menimpa mekanik Ng Chun Hon, 64, dan suri rumah Ooi Tin Lu yang berumur 59 tahun itukira-kira pukul 8.50 pagi daripada abang kepada Chun Hon.

Beliau berkata, pengadu memberitahu bahawa dia menemui adik lelaki bersama isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah semasa dia balik ke rumah itu selepas tamat bekerja.

“Pasukan polis bersama pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah ke tempat kejadian dan mendapati kedua-dua mayat ditempatkan berdekatan, tersandar pada dinding, dan mereka dipercayai mati akibat kecederaan pada bahagian kepala disebabkan senjata tajam serta objek tumpul, namun tiada senjata yang ditemukan.

“Siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan di rumah ini dan kedua-dua mereka dipercayai telah meninggal dunia malam tadi. Ibu mangsa yang berumur 90-an, uzur dan berkerusi roda, turut berada dalam rumah ketika kejadian, namun tidak diapa-apakan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Yahaya berkata, polis sedang mencari adik lelaki Chun Hon yang dikenali sebagai Ng Chun Ming, 61, yang menghilangkan diri bersama kereta Proton Saga dengan nombor pendaftaran PHU 8608, bagi membantu siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penganggur dengan rekod jenayah lampau kes mendatangkan kecederaan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Nor Azalina Rais Ahmad dengan menelefon 0136282176 bagi membantu siasatan.

Menurutnya kedua-dua mayat telah dihantar ke HRPB untuk dibedah siasat. — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here