Suami isteri tular dera anak angkat didenda RM20,000 seorang

0
16
Muhammad Fitri (dua dari kanan) dan Amira (paling kiri) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini. Foto : Kosmo Online

KAJANG – Sepasang suami isteri yang mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melalui video yang tular baru-baru ini masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fitri Jasmani Josmani, 30, dan isteri, Amira Hamzah, 28, atas pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Keputusan itu dibuat selepas pasangan itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atas mereka, lapor Kosmo Online hari ini.

Sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar jumlah denda itu mereka masing-masing boleh dipenjara selama 12 bulan.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya secara bersama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak kanak perempuan berusia empat tahun telah menganiayanya sehingga menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Eco Majestic, Semenyih di sini pukul 1.25 tengahari antara bulan April 2022 hingga 18 Julai 2022 yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) akta kanak kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan tiada niat untuk mendera mangsa sebaliknya bimbang dengan kesihatan anak angkat mereka berhubung pemakanan.

“Kami minta maaf…. tiada niat mendera, sebenarnya kami cuma hendak pastikan dia (mangsa) makan dan tidak kurang zat dalam badan,” kata Muhammad Fitri.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid dalam hujah pemberatannya berkata, kedua-dua tertuduh tidak amanah dan tidak bertanggungjawab dalam menjaga mangsa.

“Kanak-kanak berumur sedemikian perlu diberi perhatian dan kasih-sayang. Kecederaan yang dialami mangsa ini berlaku di banyak anggota badan dan bukannya di satu bahagian badan sahaja. Ini boleh menyebabkan trauma terhadap mangsa,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah sama Muhammad Fitri, turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal lebih tempoh dibenarkan di negara ini di tempat sama pukul 2.30 pagi pada 22 Julai lalu mengikut seksyen 15 (1)(c) akta imigresen 1959/63 pindaan 2002 dan yang boleh dihukum di bawah seksyen 15 (4) akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kosmo! Online 22 Julai lalu melaporkan sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera anak angkat perempuan yang berusia empat tahun dalam kejadian di sebuah rumah sekitar Beranang, Selangor pada 18 Julai lalu.

Difahamkan, polis menerima laporan berhubung kejadian selepas tular di media sosial memaparkan insiden penderaan kanak-kanak tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat mangsa tidak suka makan nasi sebelum suspek memaksa kanak-kanak itu menelan nasi sehingga termuntah.

Selain itu, mangsa dipercayai turut dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan juga dicucuh dengan pemetik api.

Mangsa merupakan anak kepada warga Indonesia dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri sebelum diserahkan di bawah penjagaan suspek sejak April lalu kerana ibu kandung tidak mampu menjaganya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here