Subsidi kerajaan stabilkan kadar inflasi negara pada 2.8 peratus, terendah di Asia Tenggara

0
6

CYBERJAYA – Kerajaan memperuntukkan subsidi lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal RM31 bilion bagi 2022 bagi membantu Keluarga Malaysia menangani kenaikan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pecahan sebsidi tersebut termasuk subsidi minyak masak berjumlah RM4 bilion, gandum (RM40 juta), gas petroleum cecair (RM2.6 bilion), diesel (RM7.5 bilion) dan RON95 (RM27 bilion).

“Tidak ada subsidi yang ditarik balik, kalau ada kempen-kempen yang mengatakan sila kembalikan subsidi, itu tidak betul kerana subsidi tidak pernah ditarik balik sejak daripada mula kita laksanakan,” katanya.

Menurutnya subsidi yang diberikan kerajaan menyebabkan kadar inflasi negara berada pada 2.8 peratus, terendah di Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata, selain pemberian subsidi, kerajaan turut menambah bantuan kewangan tunai melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), dengan golongan B40 menerima maksimum RM2,600 setahun.

“Insya-Allah kita tengok keadaan, kalau perlu naik, kita naikkan, kalau harga barang sudah stabil kita tidak naikkan,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai perbezaan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Ismail Sabri berkata pasukan khas itu menumpukan isu semasa dan terkini mengenai kenaikan harga barangan.

Sebaliknya beliau berkata NACCOL yang bermesyuarat dua kali setahun membincangkan isu dasar yang bukan hanya meliputi harga barangan malah antaranya kos pengangkutan dan isu perumahan.

“Pasukan khas ini yang dipengerusikan Ketereh (Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa) perlu membuat pengumuman atau sidang akhbar dua kali seminggu, jadi rakyat tahu perkembangan dan apa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here