Sultan Selangor bimbang perpecahan ahli politik Melayu lepas tonton Mat Kilau 

0
52
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (hujung kanan) selepas menonton filem Mat Kilau. 

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bimbang terhadap gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik Melayu.

Baginda bertitah, perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang begitu ketara boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara ini.

“Pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.

“Pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum,” titah baginda dalam satu hantaran menerusi laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda bertitah demikian selepas menonton filem Mat Kilau yang telah berjaya memecahkan rekod pecah panggung dengan kutipan sebanyak RM39 juta sejak ditayangkan Khamis lalu.

Mengulas lanjut mengenai filem Mat Kilau, baginda bertitah, dialog yang digunakan di dalam filem itu bertepatan dalam menyampaikan pesanan bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.

“Beta menggalakkan masyarakat negara ini terutama orang Melayu untuk menonton filem ini agar ianya boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran.

“Sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama dalam mempertahankannya,” titah baginda lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here