Bunuh abang dan kakak ipar kerana kerap ditegur tidak bekerja

0
63
Mior Faridalathrash Wahid.

IPOH – Kematian pasangan suami isteri warga emas di Bercham di sini semalam dipercayai bermotifkan perselisihan faham apabila suspek kerap ditegur kerana menganggur.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pertelingkahan dipercayai berlaku antara suspek dengan mangsa yang merupakan kakak iparnya sehingga menyebabkan kematian.

Dalam kejadian itu, suspek kemudian dipercayai terlibat dalam pergaduhan sehingga mengorbankan suami mangsa yang juga abang kandung suspek.

“Selain ditegur tidak bekerja suspek juga dipercayai bergaduh kerana dituduh merosakkan komputer di rumah berkenaan.

“Kita juga percaya terdapat motif lain membabitkan dendam lama antara suspek dan mangsa, namun perkara itu masih dalam siasatan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat pasangan suami isteri berusia 64 dan 59 tahun ditemui pada pukul 8.50 pagi semalam di Taman Bercham Aman, dengan kesan tetakan dan jerutan.

Mior Faridalathrash berkata, dalam penahanan suspek di sebuah hotel di Genting Highlands pada pukul 7.45 malam semalam, polis berjaya menemui sebilah kapak yang digunakan suspek semasa kejadian.

“Kita juga percaya suspek menggunakan tali untuk menjerut leher dan sebilah pisau kecil yang masih dicari untuk membantu siasatan” katanya.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan di mana suspek direman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here