‘Sweater’ sangkut di rantai motor, anggota tentera hampir putus tangan kiri

0
156
Pasukan perubatan dan orang ramai memberi bantuan kepada mangsa

TAMPIN – Seorang anggota tentera hampir
putus tangan kiri selepas tersangkut di rim motosikalnya apabila baju panas dipakainya terbelit pada bahagian gegancu (sprocket) kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi tadi, anggota tentera dari Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini sedang menunggang motosikal bersama seorang rakannya.

Beliau berkata, mangsa dan rakannya masing-masing berusia 37 tahun dalam perjalanan dari Felda Pasir Besar  menuju ke Pasukan Skuadron Ke-4 Rejimen Askar Jurutera Diraja (4 SKN RAJD) di dalam Kem Syed Sirajuddin.

“Ketika sampai  di hadapan Hospital Tentera Darat (HTD) di Kem Syed Sirajuddin tiba-tiba baju panas mangsa yang membonceng motosikal tersangkut di sprocket motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki.

“Ia menyebabkan baju tersebut terbelit dan menyebabkan pembonceng terjatuh ke sisi kiri motosikal dan mengakibatkan tangan kirinya termasuk ke dalam rim tayar motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di tangan kiri iaitu hancur dan hampir terputus serta patah kaki kiri.

Bagaimanapun, kata Anuwal, penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan.

Terdahulu tular beberapa keping gambar seorang lelaki yang sedang mengerang kesakitan dibantu orang ramai selepas tanaggannya masuk ke bahagian tayar motosikal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here